Biasa
kita dengar, anak yatim dari rumah kebajikan merupakan golongan yang
paling sibuk memenuhi undangan dan mendapat perhatian luar biasa apabila
bulan Ramadan dan Syawal berkunjung tiba.
Tidak
lupa dengan keadaan golongan yang kurang bernasib baik itu, Persatuan
Wanita (SUTRANITA) dengan kerjasama Kelab Penyayang Universiti Utara
Malaysia (UUM) meraikan anak-anak yatim dalam Majlis Malam Amal 2013 di
Dewan Tan Sri Othman, UUM, baru-baru ini.
Majlis
ini dilihat sebagai platform kepada mahasiswa UUM untuk memupuk
semangat dan sikap sukarelawan dalam diri serta mengeratkan lagi
silaturahim
antara ahli kelab dan anak-anak yatim yang dijemput dari Kompleks
Penyayang Tun Dr Siti Hasmah.
Timbalan
Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek
Abdul Karim, berkata masa untuk menyumbang kepada golongan kurang
berkemampuan dan bernasib baik ini seharusnya dilaksanakan tanpa
mengira waktu agar mereka rasa lebih dihargai.
“Dengan adanya majlis seperti ini, kami mahu mereka tahu bahawa mereka sentiasa diingati dan disayangi,” katanya.
Beliau
juga turut menyeru agar mahasiswa UUM sentiasa melaksanakan kerja-kerja
sukarela dengan hati yang ikhlas khususnya dalam memberi khidmat
kepada masyarakat.
“Saya
berharap mahasiswa yang mendaftar diri dengan kelab penyayang dapat
mengekalkan sifat tanggungjawab ini dan mengambil peluang untuk berbakti
agar sahsiah diri dapat dipertingkatkan,” katanya ketika merasmikan
majlis tersebut.
Sementara
itu, Yang Dipertua SUTRANITA, Datin Norhayati Nazri pula berkata,
penganjuran ini merupakan salah satu cara untuk mendekati anak-anak
yatim dan menabur budi kepada mereka yang memerlukan.
“Malam
amal adalah satu program yang amat baik kerana ini menunjukkan bahawa
Kelab Penyayang bukan sahaja menjalankan aktiviti yang bersifat sosial
tetapi juga turut melibatkan aktiviti kemasyarakatan dengan melibatkan
SUTRANITA,” katanya.
Katanya,
pihaknya turut mengadakan program motivasi bagi anak-anak yatim yang
akan menduduki peperiksaan pada tahun ini selain menyampaikan sumbangan
kewangan kepada mereka.
Dalam
pada itu, Muhammad Shafiq Marzuki, 17, melahirkan rasa syukur dan
terima kasih kerana mereka tetap diraikan meskipun Ramadan telah
berlalu.
“Saya
rasa gembira kerana walaupun Aidilfitri telah berlalu, namun pihak di
sini (UUM) masih ingat dekat anak-anak yatim,” katanya yang turut
mengadakan persembahan nasyid pada majlis tersebut.
Turut
hadir Pengerusi Kelab Penyayang, Mohd Ali Faiz Salleh, Penasihat Kelab
Penyayang merangkap Setiausaha Kehormat SUTRANITA dan wakil Pengetua
Komplek Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Busu Ibrahim.
ADAPTASI DAN IHSAN DARIPADA:
No comments:
Post a Comment