Motivation Quotation......

Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga, segar, Ia beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu diberinya-Nya ulat berbulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNYA! Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi Dia memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh di atas segalanya Dia sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita.............................................

Tuesday, October 29, 2013

GRADUATE EMPLOYABILITY BOOT CAMP 2013

Pendedahan mengenai kriteria yang perlu dikuasai oleh setiap graduan bagi mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kehendak industri berjaya didedahkan melalui penganjuran Graduate Employability Boot Camp 2013 oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 7-9 Oktober 2013 yang lalu.
 
Pengarah CUIC, Prof Madya Dr Hartini Ahmad, berkata graduan perlu mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang organisasi, nilai dan budaya kerja yang diamalkan sebelum terjun ke industri pekerjaan yang dipilih.
“Program ini merupakan platform terbaik untuk graduan khususnya mahasiswa tahun akhir mempersiapkan diri untuk menghadapi budaya kerja dan cabaran yang bakal ditempuh semasa bekerja nanti,” katanya.
Antara syarikat yang terlibat pada program yang berlangsung selama tiga hari tersebut adalah Mydin Mohamed Holdings Bhd, Tan Chong Motor Holdings, Malaysian Retailer Chains Association dan EMKAY Group.Hartini berkata, pihaknya mengadakan program tersebut bagi memberi peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi untuk menghadiri latihan dan temu duga secara terus dengan syarikat terbabit.
“Latihan yang diberikan bertujuan untuk memperkenalkan organisasi, peluang pekerjaan yang ditawarkan, kehendak industri pada masa kini serta pelbagai informasi yang berguna untuk diterapkan ke dalam diri peserta sebelum memasuki dunia pekerjaan.
“Peserta yang menepati kriteria dan memenuhi kehendak industri akan diambil bekerja di syarikat yang berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Turut berkongsi pengalaman, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Multimedia UUM, Muhammad Azhari Mustafa, berkata program ini dapat membantu bakal graduan memperoleh pekerjaan sebelum tamat pengajian.
“Saya tidak melepaskan peluang ini kerana ia merupakan cara terbaik untuk saya memulakan usaha  mencari kerja sebelum bergraduasi. 
“Sekarang, bukan mudah untuk kita dapatkan pekerjaan kerana persaingan yang sengit. Jadi, program ini dapat mencungkil kebolehan yang ada dalam diri peserta sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan nanti,” katanya.  
Dalam perkembangan yang sama, UUM telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai peneraju Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi sektor pemborongan dan peruncitan dengan dua fokus utama iaitu Perkongsian Teknologi dan Pembangunan Modal Insan. 
Perkongsian Teknologi bertujuan meningkatkan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) zon utara manakala Pembangunan Modal Insan menyediakan empat jenis latihan kepada mahasiswa iaitu latihan industri, program praktikum berstruktur, pembangunan bakat dan Training of Trainers.
Selain itu, CUIC sebagai sekretariat dan ketua pelaksana ICoE di peringkat kementerian dalam dua sektor tersebut turut berperanan di peringkat antarabangsa bagi mengenalpasti peserta yang berpotensi untuk diserap ke industri.



ADAPTASI DAN IHSAN DARIPADA:

 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT UUM

Wednesday, October 09, 2013

Anugerah mata untuk kita .....

 "Mata bukan segala-galanya, tetapi tanpa mata segala-galanya tidak lagi bererti," itu yang diperkatakan pada Ceramah Kesihatan Mata Menyeluruh anjuran Persatuan Wanita (SUTRANITA) Universiti Utara Malaysia (UUM),  baru-baru ini.

Menurut yang Dipertua SUTRANITA UUM, Datin Norhayati Nazri, program ini merupakan inisiatif yang baik untuk memberi pendedahan kepada warga kampus dan ahli Sutranita khususnya berkaitan kepentingan penjagaan mata.

Katanya lagi, pihaknya akan  memperbanyakkan aktiviti sebegini di masa akan datang untuk memberi pendedahan awal kepada mereka.

“Program ini sangat baik sebagai platform untuk memberi  ilmu dan pendedahan awal berkenaan penjagaan mata yang betul.

SUTRANITA akan memperbanyakkan lagi aktiviti yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli SUTRANITA tetapi kepada warga kampus secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Haslina Mohd Ali, berkata tahap keprihatinan masyarakat tentang penjagaan mata masih lagi berada pada tahap yang rendah.

“Masyarakat kita masih kurang membaca dan kurang ambil tahu tentang kesihatan mata dan banyak bergantung kepada maklumat dari mulut ke mulut tanpa ada fakta saintifik.

Hal ini bukan saja boleh memudaratkan mata dalam jangka panjang tetapi juga boleh mengakibatkan kebutaan,” katanya

Katanya lagi, kekurangan pengetahuan akan menyebabkan masyarakat kurang berusaha untuk meningkatkan penjagaan mata secara optimum walhal ia adalah pancaindera yang amat berharga kepada kualiti kehidupan manusia.

“Kita mesti tahu apakah keadaan mata kita supaya kita dapat mengambil langkah-langkah yang sepatutnya sekiranya berlaku simptom masalah mata.

“Selain itu, kita juga boleh melakukan langkah-langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan mata iaitu menjaga pemakanan, tidak merokok dan menjaga kebersihan mata khususnya bagi pengguna kanta lekap,” katanya.

ADAPTASI DAN IHSAN DARIPADA:

 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT UUM


Keprihatinan SUTRANITA menyentuh perasaan anak yatim.....



Biasa kita dengar, anak yatim dari rumah kebajikan merupakan golongan yang paling sibuk memenuhi undangan dan mendapat perhatian luar biasa apabila bulan Ramadan dan Syawal berkunjung tiba.

Tidak lupa dengan keadaan golongan yang kurang bernasib baik itu, Persatuan Wanita (SUTRANITA) dengan kerjasama Kelab Penyayang Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan anak-anak yatim dalam Majlis Malam Amal 2013 di Dewan Tan Sri Othman, UUM, baru-baru ini.

Majlis ini dilihat sebagai platform kepada mahasiswa UUM untuk memupuk semangat dan sikap sukarelawan dalam diri serta mengeratkan lagi silaturahim antara ahli kelab dan anak-anak yatim yang dijemput dari Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim, berkata masa untuk menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan dan bernasib baik ini seharusnya dilaksanakan tanpa mengira waktu agar mereka rasa lebih dihargai.

“Dengan adanya majlis seperti ini, kami mahu mereka tahu bahawa mereka sentiasa diingati dan disayangi,” katanya.

Beliau juga turut menyeru agar mahasiswa UUM sentiasa melaksanakan kerja-kerja sukarela dengan hati yang ikhlas khususnya dalam memberi khidmat kepada masyarakat.

“Saya berharap mahasiswa yang mendaftar diri dengan kelab penyayang dapat mengekalkan sifat tanggungjawab ini dan mengambil peluang untuk berbakti agar sahsiah diri dapat dipertingkatkan,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua SUTRANITA, Datin Norhayati Nazri pula berkata, penganjuran ini merupakan salah satu cara untuk mendekati anak-anak yatim dan menabur budi kepada mereka yang memerlukan.

“Malam amal adalah satu program yang amat baik kerana ini menunjukkan bahawa Kelab Penyayang bukan sahaja menjalankan aktiviti yang bersifat sosial tetapi juga turut melibatkan aktiviti kemasyarakatan dengan melibatkan SUTRANITA,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mengadakan program motivasi bagi anak-anak yatim yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini selain menyampaikan sumbangan kewangan kepada mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Shafiq Marzuki, 17, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana mereka tetap diraikan meskipun Ramadan telah berlalu.

“Saya rasa gembira kerana walaupun Aidilfitri telah berlalu, namun pihak di sini (UUM) masih ingat dekat anak-anak yatim,” katanya yang turut mengadakan persembahan nasyid pada majlis tersebut.

Turut hadir Pengerusi Kelab Penyayang, Mohd Ali Faiz Salleh, Penasihat Kelab Penyayang merangkap Setiausaha Kehormat SUTRANITA dan wakil Pengetua Komplek Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Busu Ibrahim. 
ADAPTASI DAN IHSAN DARIPADA:

 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT UUM