Motivation Quotation......

Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga, segar, Ia beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu diberinya-Nya ulat berbulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNYA! Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi Dia memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh di atas segalanya Dia sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita.............................................

Monday, February 27, 2012

Sebuah buku selautan Ilmu (Bhgn 1)


Buku adalah bahan terpenting dalam kehidupan seseorang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Terdapat kepelbagaian kegunaan mengikut kategori ilmu yang ditetapkan. Walaupun pada era ini, kewujudan bahan ilmiah dan maklumat hanya di hujung jari, namun, masyarakat masih memerlukan buku untuk pembelajaran sepanjang zaman. Buku merupakan pendokumentasian sesebuah manuskrip mahupun karya seseorang baik ilmiah mahupun bukan ilmiah. Buku juga selalunya dikaitkan dengan kunci pengetahuan. Bermula dengan proses pembacaan buku, seseorang itu akan mendapat maklumat. Kemudian proses pemahaman maklumat ditransformasikan pengetahuan berdasarkan konteks pengalaman seseorang itu sendiri. Pengetahuan ini boleh didefinisikan sebagai perolehan maklumat yang berasaskan pengalaman serta pemahaman dan pencernaan sesuatu maklumat yang diterima (Sulaiman, 2010). Manakala maklumat diperolehi daripada data yang telah diproses, samada sebagai fakta untuk membantu seseorang membuat keputusan dan juga informasi untuk mengukuhkan sebab seseorang itu untuk membuat keputusan (Sulaiman, 2010).

Proses pembangunan sahsiah seseorang individu juga bergantung kepada sejauh mana pemahaman dan penghayatan seseorang individu itu terhadap buku atau bahan bacaan yang difahami dan dihayati. Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 28 Mac 2010, bertajuk ‘Masa depan buku terletak pada kanak-kanak hari ini’, menunjukkan bahawa buku sememangnya amat signifikan bagi manusia untuk memahami apa yang dikatakan ilmu. Malah, ketidakwujuduan buku menjadikan sukar untuk melahirkan manusia yang bijak dan berpotensi dalam mencapai cita-cita seseorang. Hampir dua ratus tahun yang lalu, buku telah dilihat sebagai medium utama dalam pembangunan memberi kebebasan untuk manusia berfikir. Tambahan lagi, buku juga mampu menjadi perisai penting untuk memartabatkan generasi yang akan datang.

Selain daripada dikenali sebagai kunci pengetahuan, buku juga sering dikaitkan dengan jambatan pengetahuan. Ini bermaksud, buku diibaratkan sebagai penghubung antara seseorang yang tidak tahu kepada tahu sesuatu pengetahuan yang ingin diketahuinya. Sebagai contoh, buku motivasi yang mampu mengubah paradigma seseorang yang membaca dari seorang yang berpandangan negatif kepada seseorang yang mampu berpandangan postif. Begitu juga dengan buku tarbiah rohani, yang mampu menenangkan jiwa seseorang indvidu yang tertekan ataupun mengalami masalah. Melalui pembacaan buku, hati yang gelisah mampu menjadi tenang dan lebih positif dalam kehidupan.
Satu lagi contoh yang lebih spesifik tentang buku motivasi iaitu ’Bagaimana Memotivasi Pelajar : Teori, Konsep dan Kepentingan’ oleh Mohamad dan Hashim(2009), dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian seseorang pelajar. Motivasi amat penting dalam merangsang diri agar terus mengejar dan meraih kejayaan. Namun, tidak ramai yang tahu apa itu motivasi dalam erti kata yang sebenar. Di dalam buku ini juga turut menerangkan secara terperinci tentang kepentingan motivasi, teori-teori barat, motivasi dalam Islam, motivasi pelajar dan juga bagaimana menerapkan motivasi dalam diri.
Sesungguhnya dewasa ini. pertambahan buku tentang pembangunan diri dan pengurusan diri sangat mudah diperolehi di mana-mana kedai buku yang boleh dibeli di kedai buku mahupun secara atas talian. Walaubagaimanapun, semuanya tertakluk kepada jenis bahan bacaan yang dibaca. Pastikan bahan bacaan adalah yang bahan bacaan yang berkualiti tinggi dan mampu menjana ilmu kepada pembaca, bukan hanya hidangan ringan semata-mata seperti hiburan ataupun bahan-bahan bacaan yang tidak bermanfaat.

Sebagai contoh, sebuah buku yang dibaca antara yang terjual paling banyak di pasaran buat masa ini yang bertajuk ‘Senyumlah’ ditulis oleh Alatas (2011) sarat dengan mesej-mesej positif dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Buku ini turut menghuraikan kepentingan masalah dalam kehidupan dan juga peranan sabar dalam menghadapi masalah dalam kehidupan seharian. Bagi individu yang membaca buku tersebut akan tersentuh dan cuba berusaha untuk mempositifkan diri melalui penghayatan dam pemahaman yang menyeluruh bagi buku tersebut. Selain bahan motivasi dalam bentuk buku, dewasa ini, bahan berbentuk motivasi juga boleh diperolehi dengan mudah melalui teknologi web 2.0 seperti laman sosial Facebook, Blogs,Youtube dan juga aplikasi mobiliti seprti telefon pintar.

Buku pelajaran atau buku akademik bagi seseorang pelajar juga tidak kurang pentingnya. Buku teks serta modul nota kuliah sebagai contoh, seharusnya pelajar universiti secara spesfiknya perlu melihat kepentingan untuk memiliki buku bagi setiap kursus yang diambil. Antara kepentingan membeli buku teks atau nota kuliah ataupun buku bacaan tambahan, sudah pastinya pelajar tersebut mendapat gambaran yang lebih menyeluruh dan kepelbagaian contoh dalam buku teks yang disyorkan oleh pensyarah. Walaubagaimanapun masih terdapat segelintir pelajar universiti masih sukar untuk membeli buku dengan kepelbagaian alasan yang direka untuk menyelamatkan diri. Kerajaan Malaysia juga turut mengorak inisiatif terbaru dengan memberi insentif baucer 1Malaysia (Portal rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, 2012),  seorang RM200 kepada semua pelajar universiti samada pra-siswazah mahupun pasca- sisiwazah. Pemberian baucar 1Malaysia  kepada semua pelajar Malaysia termasuklah yang berada  di Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik, universiti tempatan mahupun universiti swasta. Pemberian baucar 1Malaysia ini telahpun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 (Portal rasmi Kementerian Kewangan Malaysia,2011). Para pelajar boleh menggunakan baucar tersebut bagi pembelian pelbagai bahan rujukan mengikut keutamaan seperti buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran. Ini menujukkan kerajaan Malaysia menyedari kepentingan buku ataupun bahan bacaan yang mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman seseorang pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, bagi peringkat sekolah rendah dan menengah bawah, pihak kerajaan juga turut tidak lupa memberi bantuan kewangan kepada para ibubapa dengan sumbagan setiap pelajar RM100 (Kedai Rakyat 1Malaysia, 2012), dimana ibubapa juga boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli buku latihan ataupun buku aktiviti tambahan kepada anak-anak. Memandangkan buku teks juga telah dibekalkan secara percuma kepada semua pelajar sekolah bantuan kerajaan tanpa mengambil kira latarbelakang kewangan ibubapa pelajar-pelajar sekolah berkaitan. Mengikut pengamatan penulis, bagi buku-buku latihan dan juga buku aktiviti ataupun buku tambahan bagi pelajar sekolah rendah mahupun menengah, harga yang ditawarkan adalah amat berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua pelajar. Terpulang kepada ibubapa untuk menentukan jenis dan kualiti buku yang diperlukan bergantung kepada keperluan pelajar. Selain guru, ibubapa juga harus bekerjasama dalam proses pembelajaran dan pemahaman pelajar terutamanya selepas waktu sekolah. Buku dan pelajar juga amat penting, selain alat bantuan mengajar dan belajar yang lain. Adakalanya buku juga adalah kunci utama dalam pembelajaran di samping penglibatan pelajar itu sendiri dalam kelas. Tidak hairanlah adakalanya guru sanggup mendenda pelajar jika terdapat pelajar yang tertinggal buku yang perlu digunakan di dalam kelas.Ini menunjukkan betapa pentingnya buku dlam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam sesebuah kelas. Ini kerana, secara logiknya jika pelajar tersebut ketiadaan buku, keberkesanan pemahaman di dalam pembelajaran sedikit sebanyak akan tergugat dan membantutkan pemahaman pelajar itu tadi.

Begitu juga dengan ahli akademik, buku dan pensyarah tidak boleh dipisahkan. Tidak terkecuali guru, tenaga pengajar di institut kemahiran mahupun politeknik ataupun di semua institusi pengajian. Golongan pendidik ini boleh diibaratkan sebagai ‘sifu’ dalam bidang masing-masing. Mereka perlu memiliki kelulusan yang tertentu sebelum layak menjadi tenaga pendidik baik sebagai pensyarah,guru mahupun jurulatih. Untuk menjadi pensyarah universiti contohnya, seseorang individu sekurang-kurangnya perlu memilik ijazah sarjana. Untuk memiliki kelulusan setahap ini, individu itu perlu meghasilkan disertasi yang memerlukan rujukan daripada pelbagai bahan rujukan termasuklah kepelbagaian buku. Ini untuk memastikan pensyarah mampu melaksanakan lima bidang tugas utama yang sangat kompeten iaitu mengendalikan sesi kuliah iaitu pengajaran, menjalankan penyelidikan, menulis hasil penyelidikan, menyelia pelajar dan juga penglibatan dalam perundingan profesional (Zainal Abidin dan Ayudin(2009).

Bagi golongan pendidik ini, sebagai persediaan kepada pengajaran, buku amat diperlukan bagi tenaga pengajar sebagai melengkapi bahan pengajaran selain nota kuliah ataupun alat bantuan mengajar. Bagi ahli akademik, golongan ini juga harus lebih bergerak secara proaktif untuk menghasilkan buku mengikut kepakaran masing-masing dalam konteks nasional mahupun peringkat antarabangsa. Selain dapat mengembangkan kepakaran dan perkongsian pengetahuan kepada golongan sasaran, ahli akademik juga mampu mengasah kemahiran menulis seterusnya dapat meningkatkan penerbitan melalui hasil kerja penulisan. Antara matlamat yang boleh dicapai melalui penerbitan buku ini, perkongsian pengetahuan daripada pihak pakar kepada yang mencari pengetahuan tersebut dapat dihasilkan. Secara tidak langsung, penerbitan buku juga sebagai salah satu medium untuk membuktikan kepakaran sesorang ahli akademik, selain melalui proses penyelidikan mahupun perundingan.

Bagi novelis buku, mereka juga mampu membuat anjakan paradigma melalui mesej-mesej yang tersirat dan tersurat dalam penceritaan yang dinovelkan. Kebiasaannya novel lebih mengabstrakkan kisah kehidupan sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat dan sebagainya. Penulisan novel juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran menulis yang memerlukan kepada pembacaan novel berkaitan. Dalam penulisan novel, kebiasaannya, penulis mempunyai daya imaginasi yang agak tinggi, memandangkan novel biasanya dimulai dengan pendeskripsian situasi dengan keadaan yang difokuskan. Terdapat juga novel yang berjaya diadaptasikan menjadi filem dan drama dimana, sebelum dihasilkan drama mahupun filem, sesebuah novel perlu ditukar dalam bentuk skrip drama mahupun skrip filem. Tidak ketinggalan, pengarah drama mahupun pengarah filem juga memerlukan pembacaan buku mahupun apa jua bahan bacaan yang berkaitan sebelum menghasilkan produksi yang mantap.
Begitu juga dengan perilaku membaca. Tanpa membaca, seseorang itu tidak akan mampu mempunyai ilmu pengetahuan walaupun memiliki berjuta buah buku sekalipun.Membaca dan buku ibarat aur dengan tebing, bagaikan irama dengan lagu. Dimana sikap suka membaca menyumbang kepada kekuatan kepada sesiapa sahaja seterusnya kepada mana-mana bangsa mahupun sesebuah negara. Walaupun sesebuah negara tersebut dilengkapi dengan kekuatan sistem pertahanan mahupun sistem kewangan,  tanpa rakyat yang berpengetahuan, tidak mustahil negara itu akan terancam dengan kuasa-kuasa besar yang lain.
Kesedaran kerajaan dalam hal ini telahpun diimpelmentasikan hampir sedekad yang lalu, melalui Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) (Pengurusan Sumber Pendidikan, 2012) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini telah membuktikan semangat suka membaca dari peringkat sekolah rendah yang mampu menyumbang kepada individu yang berkebolehan dalam pelbagai sudut kemahiran. Pelbagai sudut kemahiran ini juga secara tidak langsung menyumbang kepada ketrampilan, kesahsiaan dan juga keperilakuan yang mulia. Semua aspek ini hasil dari pembacaan yang berkualiti dan penerapan nilai-nilai murni  yang berkesan dan mantap.
Bagi staf pula,  Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menggalakkan staf  untuk lebih minat dan membiasakan diri dengan tabiat suka membaca melalui kaedah latihan secara pembacaan menggantikan hari berkursus. Melalui kaedah ini, setiap staf secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kemahiran mereka melalui pembacaan buku. Mereka perlu membaca, merekod dan mempersembahkan dapatan mereka. Buku yang dibaca pula perlu ada kaitan dengan bidang tugas semasa. Secara tidak langsung, program bermatlamat untuk memenuhi dasar latihan sekurang-kurangnya tujuh hari kursus dalam setahun bagi setiap staf kerajaan.
Selain itu , Kementerian Dalam Negeri juga turut mewajibkan semua staf Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta  pelatih Pusat Serenti terlibat dengan Kempen Galakan Membaca (Mzurs, 2010). Melalui kempen ini, matlamat untuk melahirkan pegawai AADK yang  lebih berwibawa dan berdedikasi semasa menjalankan tugas mereka serta lebih berinformasi serta  keyakinan kepada pelatih Pusat Serenti sebaik sahaja mereka keluar dari pusat latihan.- bersambung

Artikel@Esei ini mendapat tempat kedua di dalam Pertandingan Menulis Esei sempena Pesta Buku Utara 2012 di UUM (19hb-23hb Feb 2012) .Alhamdulillah........

No comments: