Buku adalah bahan terpenting
dalam kehidupan seseorang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Terdapat
kepelbagaian kegunaan mengikut kategori ilmu yang ditetapkan. Walaupun pada era
ini, kewujudan bahan ilmiah dan maklumat hanya di hujung jari, namun,
masyarakat masih memerlukan buku untuk pembelajaran sepanjang zaman. Buku
merupakan pendokumentasian sesebuah manuskrip mahupun karya seseorang baik
ilmiah mahupun bukan ilmiah. Buku juga selalunya dikaitkan dengan kunci
pengetahuan. Bermula dengan proses pembacaan buku, seseorang itu akan mendapat
maklumat. Kemudian proses pemahaman maklumat ditransformasikan pengetahuan
berdasarkan konteks pengalaman seseorang itu sendiri. Pengetahuan ini boleh
didefinisikan sebagai perolehan maklumat yang berasaskan pengalaman serta pemahaman
dan pencernaan sesuatu maklumat yang diterima (Sulaiman, 2010). Manakala
maklumat diperolehi daripada data yang telah diproses, samada sebagai fakta
untuk membantu seseorang membuat keputusan dan juga informasi untuk mengukuhkan
sebab seseorang itu untuk membuat keputusan (Sulaiman, 2010).
Proses pembangunan sahsiah
seseorang individu juga bergantung kepada sejauh mana pemahaman dan penghayatan
seseorang individu itu terhadap buku atau bahan bacaan yang difahami dan
dihayati. Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 28 Mac 2010,
bertajuk ‘Masa depan buku terletak pada kanak-kanak hari ini’,
menunjukkan bahawa buku sememangnya amat signifikan bagi manusia untuk memahami
apa yang dikatakan ilmu. Malah, ketidakwujuduan buku menjadikan sukar untuk
melahirkan manusia yang bijak dan berpotensi dalam mencapai cita-cita seseorang.
Hampir dua ratus tahun yang lalu, buku telah dilihat sebagai medium utama dalam
pembangunan memberi kebebasan untuk manusia berfikir. Tambahan lagi, buku juga
mampu menjadi perisai penting untuk memartabatkan generasi yang akan datang.
Selain daripada dikenali sebagai kunci
pengetahuan, buku juga sering dikaitkan dengan jambatan pengetahuan. Ini
bermaksud, buku diibaratkan sebagai penghubung antara seseorang yang tidak tahu
kepada tahu sesuatu pengetahuan yang ingin diketahuinya. Sebagai contoh, buku
motivasi yang mampu mengubah paradigma seseorang yang membaca dari seorang yang
berpandangan negatif kepada seseorang yang mampu berpandangan postif. Begitu
juga dengan buku tarbiah rohani, yang mampu menenangkan jiwa seseorang indvidu
yang tertekan ataupun mengalami masalah. Melalui pembacaan buku, hati yang
gelisah mampu menjadi tenang dan lebih positif dalam kehidupan.
Satu lagi contoh yang lebih spesifik
tentang buku motivasi iaitu ’Bagaimana Memotivasi Pelajar : Teori, Konsep dan
Kepentingan’ oleh Mohamad dan Hashim(2009), dapat diaplikasikan dalam kehidupan
seharian seseorang pelajar. Motivasi amat penting dalam merangsang diri agar
terus mengejar dan meraih kejayaan. Namun, tidak ramai yang tahu apa itu
motivasi dalam erti kata yang sebenar. Di dalam buku ini juga turut menerangkan
secara terperinci tentang kepentingan motivasi, teori-teori barat, motivasi
dalam Islam, motivasi pelajar dan juga bagaimana menerapkan motivasi dalam diri.
Sesungguhnya dewasa ini. pertambahan buku
tentang pembangunan diri dan pengurusan diri sangat mudah diperolehi di
mana-mana kedai buku yang boleh dibeli di kedai buku mahupun secara atas talian.
Walaubagaimanapun, semuanya tertakluk kepada jenis bahan bacaan yang dibaca.
Pastikan bahan bacaan adalah yang bahan bacaan yang berkualiti tinggi dan mampu
menjana ilmu kepada pembaca, bukan hanya hidangan ringan semata-mata seperti
hiburan ataupun bahan-bahan bacaan yang tidak bermanfaat.
Sebagai contoh, sebuah buku
yang dibaca antara yang terjual paling banyak di pasaran buat masa ini yang
bertajuk ‘Senyumlah’ ditulis oleh Alatas (2011) sarat dengan mesej-mesej
positif dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Buku
ini turut menghuraikan kepentingan masalah dalam kehidupan dan juga peranan
sabar dalam menghadapi masalah dalam kehidupan seharian. Bagi individu yang membaca
buku tersebut akan tersentuh dan cuba berusaha untuk mempositifkan diri melalui
penghayatan dam pemahaman yang menyeluruh bagi buku tersebut. Selain bahan
motivasi dalam bentuk buku, dewasa ini, bahan berbentuk motivasi juga boleh
diperolehi dengan mudah melalui teknologi web 2.0 seperti laman sosial
Facebook, Blogs,Youtube dan juga aplikasi mobiliti seprti telefon pintar.
Buku pelajaran atau buku akademik
bagi seseorang pelajar juga tidak kurang pentingnya. Buku teks serta modul nota
kuliah sebagai contoh, seharusnya pelajar universiti secara spesfiknya perlu
melihat kepentingan untuk memiliki buku bagi setiap kursus yang diambil. Antara
kepentingan membeli buku teks atau nota kuliah ataupun buku bacaan tambahan,
sudah pastinya pelajar tersebut mendapat gambaran yang lebih menyeluruh dan kepelbagaian
contoh dalam buku teks yang disyorkan oleh pensyarah. Walaubagaimanapun masih
terdapat segelintir pelajar universiti masih sukar untuk membeli buku dengan
kepelbagaian alasan yang direka untuk menyelamatkan diri. Kerajaan Malaysia juga
turut mengorak inisiatif terbaru dengan memberi insentif baucer 1Malaysia (Portal
rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, 2012), seorang RM200 kepada semua pelajar universiti
samada pra-siswazah mahupun pasca- sisiwazah. Pemberian baucar 1Malaysia kepada semua pelajar Malaysia termasuklah
yang berada di Tingkatan Enam,
Matrikulasi, Asasi, Politeknik, universiti tempatan mahupun universiti swasta. Pemberian
baucar 1Malaysia ini telahpun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
ketika membentangkan Belanjawan 2012 (Portal rasmi Kementerian Kewangan
Malaysia,2011). Para pelajar boleh menggunakan baucar tersebut bagi pembelian pelbagai
bahan rujukan mengikut keutamaan seperti buku akademik, jurnal, majalah ilmiah
dan peralatan pembelajaran. Ini menujukkan kerajaan Malaysia menyedari
kepentingan buku ataupun bahan bacaan yang mampu meningkatkan pengetahuan dan
pemahaman seseorang pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, bagi
peringkat sekolah rendah dan menengah bawah, pihak kerajaan juga turut tidak
lupa memberi bantuan kewangan kepada para ibubapa dengan sumbagan setiap
pelajar RM100 (Kedai Rakyat 1Malaysia, 2012), dimana ibubapa juga boleh menggunakan wang
tersebut untuk membeli buku latihan ataupun buku aktiviti tambahan kepada
anak-anak. Memandangkan buku teks juga telah dibekalkan secara percuma kepada
semua pelajar sekolah bantuan kerajaan tanpa mengambil kira latarbelakang
kewangan ibubapa pelajar-pelajar sekolah berkaitan. Mengikut pengamatan
penulis, bagi buku-buku latihan dan juga buku aktiviti ataupun buku tambahan
bagi pelajar sekolah rendah mahupun menengah, harga yang ditawarkan adalah amat
berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua pelajar. Terpulang kepada ibubapa
untuk menentukan jenis dan kualiti buku yang diperlukan bergantung kepada
keperluan pelajar. Selain guru, ibubapa juga harus bekerjasama dalam proses
pembelajaran dan pemahaman pelajar terutamanya selepas waktu sekolah. Buku dan
pelajar juga amat penting, selain alat bantuan mengajar dan belajar yang lain.
Adakalanya buku juga adalah kunci utama dalam pembelajaran di samping
penglibatan pelajar itu sendiri dalam kelas. Tidak hairanlah adakalanya guru
sanggup mendenda pelajar jika terdapat pelajar yang tertinggal buku yang perlu
digunakan di dalam kelas.Ini menunjukkan betapa pentingnya buku dlam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam sesebuah kelas. Ini kerana, secara
logiknya jika pelajar tersebut ketiadaan buku, keberkesanan pemahaman di dalam
pembelajaran sedikit sebanyak akan tergugat dan membantutkan pemahaman pelajar
itu tadi.
Begitu juga dengan ahli
akademik, buku dan pensyarah tidak boleh dipisahkan. Tidak terkecuali guru, tenaga
pengajar di institut kemahiran mahupun politeknik ataupun di semua institusi
pengajian. Golongan pendidik ini boleh diibaratkan sebagai ‘sifu’ dalam bidang
masing-masing. Mereka perlu memiliki kelulusan yang tertentu sebelum layak
menjadi tenaga pendidik baik sebagai pensyarah,guru mahupun jurulatih. Untuk
menjadi pensyarah universiti contohnya, seseorang individu sekurang-kurangnya
perlu memilik ijazah sarjana. Untuk memiliki kelulusan setahap ini, individu
itu perlu meghasilkan disertasi yang memerlukan rujukan daripada pelbagai bahan
rujukan termasuklah kepelbagaian buku. Ini untuk memastikan pensyarah mampu
melaksanakan lima bidang tugas utama yang sangat kompeten iaitu mengendalikan
sesi kuliah iaitu pengajaran, menjalankan penyelidikan, menulis hasil penyelidikan,
menyelia pelajar dan juga penglibatan dalam perundingan profesional (Zainal
Abidin dan Ayudin(2009).
Bagi golongan pendidik ini, sebagai
persediaan kepada pengajaran, buku amat diperlukan bagi tenaga pengajar sebagai
melengkapi bahan pengajaran selain nota kuliah ataupun alat bantuan mengajar. Bagi
ahli akademik, golongan ini juga harus lebih bergerak secara proaktif untuk menghasilkan
buku mengikut kepakaran masing-masing dalam konteks nasional mahupun peringkat
antarabangsa. Selain dapat mengembangkan kepakaran dan perkongsian pengetahuan
kepada golongan sasaran, ahli akademik juga mampu mengasah kemahiran menulis
seterusnya dapat meningkatkan penerbitan melalui hasil kerja penulisan. Antara
matlamat yang boleh dicapai melalui penerbitan buku ini, perkongsian
pengetahuan daripada pihak pakar kepada yang mencari pengetahuan tersebut dapat
dihasilkan. Secara tidak langsung, penerbitan buku juga sebagai salah satu
medium untuk membuktikan kepakaran sesorang ahli akademik, selain melalui
proses penyelidikan mahupun perundingan.
Bagi novelis buku, mereka juga
mampu membuat anjakan paradigma melalui mesej-mesej yang tersirat dan tersurat
dalam penceritaan yang dinovelkan. Kebiasaannya novel lebih mengabstrakkan
kisah kehidupan sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat dan sebagainya.
Penulisan novel juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran menulis yang
memerlukan kepada pembacaan novel berkaitan. Dalam penulisan novel,
kebiasaannya, penulis mempunyai daya imaginasi yang agak tinggi, memandangkan
novel biasanya dimulai dengan pendeskripsian situasi dengan keadaan yang
difokuskan. Terdapat juga novel yang berjaya diadaptasikan menjadi filem dan
drama dimana, sebelum dihasilkan drama mahupun filem, sesebuah novel perlu
ditukar dalam bentuk skrip drama mahupun skrip filem. Tidak ketinggalan, pengarah
drama mahupun pengarah filem juga memerlukan pembacaan buku mahupun apa jua
bahan bacaan yang berkaitan sebelum menghasilkan produksi yang mantap.
Begitu juga dengan perilaku membaca. Tanpa
membaca, seseorang itu tidak akan mampu mempunyai ilmu pengetahuan walaupun
memiliki berjuta buah buku sekalipun.Membaca
dan buku ibarat aur dengan tebing, bagaikan irama dengan lagu. Dimana sikap
suka membaca menyumbang kepada kekuatan kepada sesiapa sahaja seterusnya kepada
mana-mana bangsa mahupun sesebuah negara. Walaupun
sesebuah negara tersebut dilengkapi dengan kekuatan sistem pertahanan mahupun sistem
kewangan, tanpa rakyat yang
berpengetahuan, tidak mustahil negara itu akan terancam dengan kuasa-kuasa
besar yang lain.
Kesedaran kerajaan dalam hal ini telahpun
diimpelmentasikan hampir sedekad yang lalu, melalui Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) (Pengurusan
Sumber Pendidikan, 2012) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini
telah membuktikan semangat suka membaca dari peringkat sekolah rendah yang
mampu menyumbang kepada individu yang berkebolehan dalam pelbagai sudut
kemahiran. Pelbagai sudut kemahiran ini juga secara tidak langsung menyumbang
kepada ketrampilan, kesahsiaan dan juga keperilakuan yang mulia. Semua aspek
ini hasil dari pembacaan yang berkualiti dan penerapan nilai-nilai murni yang berkesan dan mantap.
Bagi staf pula, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah
menggalakkan staf untuk lebih minat dan
membiasakan diri dengan tabiat suka membaca melalui kaedah latihan secara
pembacaan menggantikan hari berkursus. Melalui kaedah ini, setiap staf secara
tidak langsung dapat mempertingkatkan kemahiran mereka melalui pembacaan buku.
Mereka perlu membaca, merekod dan mempersembahkan dapatan mereka. Buku yang
dibaca pula perlu ada kaitan dengan bidang tugas semasa. Secara tidak langsung,
program bermatlamat untuk memenuhi dasar latihan sekurang-kurangnya tujuh hari
kursus dalam setahun bagi setiap staf kerajaan.
Selain itu , Kementerian Dalam Negeri juga
turut mewajibkan semua staf Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pelatih Pusat Serenti terlibat dengan Kempen
Galakan Membaca (Mzurs, 2010). Melalui kempen ini, matlamat untuk melahirkan pegawai
AADK yang lebih berwibawa dan
berdedikasi semasa menjalankan tugas mereka serta lebih berinformasi serta keyakinan kepada pelatih Pusat Serenti sebaik
sahaja mereka keluar dari pusat latihan.- bersambung
Artikel@Esei ini mendapat tempat kedua di dalam Pertandingan Menulis Esei sempena Pesta Buku Utara 2012 di UUM (19hb-23hb Feb 2012) .Alhamdulillah........